Inspirasi Suri : Hobi Menjana Pendapatan: October 2014

Monday, 20 October 2014

ROTARY CUTTER


Teks : Basharina Ahmat

Inilah Rotary Cutter yang digunakan untuk memotong kain yang lebih kecil untuk membuat patchwork dan hiasan pada sesuatu projek jahitan.

Saiznya 45mm. Biasanya saya akan guna yang ini untuk general cutting. Gambar kat bawah ni cara nak guna dengan pembaris dan mat tu, kedudukan mesti 45 darjah, supaya mata pisau tu tak cepat tumpul. Pembaris memang sudah ada ukuran dalam cm atau inci, mat pula digunakan untuk alas, pembaris ini juga sudah disediakan ukuran 45 darjah dan 60 darjah. Bagi memudahkan untuk memotong secara tepat ukuran, garisan pembaris mesti sama lurus dengan kain tersebut, jika terdapat lebihan, potong kain untuk dapat garisan yang lurus... Tekan dan tolak rotary cutter ke depan, bukan dari arah depan ke belakang tau, nanti garisan tidak lurus.
Pastikan rotary cutter ini digunakan bersama mat dan pembaris.

Jadi untuk memiliki rotary cutter ini terpulanglah kepada keperluan kita. Kalau tak ada pun boleh buat juga tapi remeh sedikit, tapi kalau ada tu lagi senang le kerja potong-potong, jika dibandingkan dengan menggunakan gunting.

Salam ceria selalu.

Wednesday, 15 October 2014

Jangan Pandang Belakang

 Teks : Basharina Ahmat

Setiap orang mempunyai kegagalan atau kesilapan masa lampau yang tidak sama antara satu sama lain. Untuk berjaya, kita perlu belajar dari kesilapan lalu dan menghargai pengalaman sukar yang telah dilalui tanpa perlu memikirkannya. Kita perlu maju ke hadapan dan melakukan yang lebih baik, membuat keputusan yang bijak dan jadikan pengalaman lalu sebagai ikhtibar.  Berazam dalam diri kita agar tidak mengulangi kesilapan itu lagi.



Peringatan untuk diri sendiri.

Tuesday, 14 October 2014

Motivasi vs Inspirasi


Teks : Basharina  Ahmat

Pada pendapat saya motivasi dan inspirasi adalah dua perkataan yang berbeza. Walaupun perbezaannya kecil, inspirasi mempunyai lebih kekuatan dalam merangsang seseorang melakukan sesuatu dengan penuh komitmen berbanding motivasi.

Perkataan motivasi terbentuk dari perkataan motif. Bermakna seseorang memerlukan motif untuk mendapat motivasi. Apakah motif seorang blogger menulis blog? Kerana wang, nama, berkongsi pendapat, mencetus perubahan, atau kesemuanya? Jika motif yang ingin dicapai tidak tercapai, besar kemungkinan motivasi akan menurun.

Terdapat tiga kategori motif yang membangkitkan motivasi iaitu motif homeostatik, motif non-homeostatik dan motif sosial. Ada motivasi positif dan ada motivasi negatif.

Saya suka mengikuti program motivasi, samada atas inisiatif sendiri, dihantar oleh majikan atau pun mengikuti program yang dianjurkan oleh organisasi yang saya menjadi ahli.   Dalam program  tersebut, kita selalunya diminta menentukan matlamat yang ingin dicapai dan menyediakan perancangan untuk mencapainya. Matlamat tersebut selalunya mempunyai kaitan dengan motif yang dinyatakan di atas.

Kita akan mempunyai motivasi bila ada orang yang mengajak, memujuk atau memaksa kita melakukannya. Seminggu selepas program motivasi, biasanya semangat atau motivasi dah mula menurun. Tidak ada lagi dorongan untuk mencapai motif kerana tiada yang mengajak, menyuruh atau memaksa. Benarlah kajian pakar, manusia akan lupa seratus peratus tentang apa yang diberitahu kepadanya dalam tempoh seminggu. Inilah agaknya kenapa sesetengah pakar motivasi,ada mengatakan seseorang tidak mungkin dapat memotivasikan orang lain. 


Berbeza dengan orang yang mempunyai inspirasi, dia akan terus komited untuk berusaha walaupun matlamat yang ingin dicapai tidak tercapai. Inspirasi bermaksud keadaan fikiran yang boleh menyebabkan terlahir ilham atau rangsangan, dan juga perasaan yang membuat seseorang komited dengan apa yang diusahakan. 

Usaha tidak hanya sebagai jalan untuk mecapai matlamat tetapi tujuan hidup itu sendiri - hidup yang penuh inspirasi dan bermakna. Di mana kita boleh mendapat sumber inspirasi? Sumber inspirasi ini berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. 

Ramai orang yang mendapat sumber inspirasi dari alam semulajadi seperti melihat ikan berenang, mendengar deruan ombak, kicauan burung, atau desir angin. Ada orang mendapat inspirasi dengan mendengar muzik seperti muzik klasik atau sentimental. Ada juga yang mendapat inspirasi dengan membaca kisah manusia agung (seperti Nabi Muhammad saw). Inspirasi juga boleh diperolehi dengan menyelami jiwa sendiri atau membaca jurnal peribadi.

Carilah sumber inspirasi anda. Motivasi tidak cukup bertenaga untuk membuat kita meneruskan usaha ketika keadaan sekeliling berteriak “berhenti!”. Motivasi hanya memberitahu kita mengapa kita ingin melakukan apa yang kita lakukan kerana ia didasarkan pada matlamat semata-mata.

Ingatan Untuk Diri Sendiri..



Friday, 10 October 2014

Catatan Pengalaman

Sebenarnya bidang jahitan amat luas, kita boleh menjadi usahawan jahitan dalam pelbagai bidang seperti  sulaman, jahitan baju perempuan , jahitan baju lelaki, jahitan langsir dan lain-lain jahitan lagi.

Ketika remaja lagi saya sudah mempunyai minat untuk menjadi usahawan dalam bidang jahitan. Saya mengikuti kelas jahitan anjuran KEMAS pada setiap hujung minggu.  Itupun kalau saya tiada “tuisyen”.  Maklumlah waktu itu masih lagi di bangku sekolah. Minat ini terkubur seketika apabila saya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Alhamdulillah dapat kerja makan gaji untuk meneruskan kehidupan seharian.

Saya mula bekerja makan gaji... pagi-pagi keluar kerja balik petang tapi  cukup bulan gaji habis bayar hutang, sehinggalah pada usia 25 tahun saya mengikuti kelas jahitan yang lebih tinggi dimana saya mempelajari teknik quilting, patchwork, sulaman pada pelbagai jenis pakaian wanita dan lain-lain lagi.  Dari situ saya mula berjinak-jinak dengan mesin sulam untuk belajar menjahit sulaman dan mengambil tempahan.

Setiap hari minggu saya akan terus masuk kelas jahitan tanpa mengira penat. Kelas saya bermula dari pukul 9 – 7 malam (Jumaat dan Sabtu) sepanjang tahun. Bayangkan betapa penatnya saya waktu itu, untuk menjadi seperti hari ini, dalam masa yang sama menjadi pelajar dan bekerja. Tetapi itulah pengorbananku......

Setelah beberapa tahun menimba ilmu dalam bidang jahitan dari satu pusat jahitan ke satu pusat jahitan saya panjat semata-mata untuk menambah ilmu dan pengalaman. Setelah ilmu penuh di dada saya pun mula berjinak2 dengan mengambil tempahan jahitan dan sulaman secara sambilan. Kini saya telah 15 tahun berpengalaman dalam bidang jahitan dan sulaman.

Memandangkan harga tempahan semakin hari semakin mahal , ia menambahkan lagi semangat untuk terus belajar hingga ke hari ini.  Sekarang ini saya masih lagi mengikuti kelas jahitan sulaman setiap 2 minggu sekali (ikut kesesuaian jadual dan tempahan pelanggan).

Sekarang saya lebih fokus kepada jahitan sulaman.