Inspirasi Suri : Hobi Menjana Pendapatan: Motivasi vs Inspirasi

Tuesday, 14 October 2014

Motivasi vs Inspirasi


Teks : Basharina  Ahmat

Pada pendapat saya motivasi dan inspirasi adalah dua perkataan yang berbeza. Walaupun perbezaannya kecil, inspirasi mempunyai lebih kekuatan dalam merangsang seseorang melakukan sesuatu dengan penuh komitmen berbanding motivasi.

Perkataan motivasi terbentuk dari perkataan motif. Bermakna seseorang memerlukan motif untuk mendapat motivasi. Apakah motif seorang blogger menulis blog? Kerana wang, nama, berkongsi pendapat, mencetus perubahan, atau kesemuanya? Jika motif yang ingin dicapai tidak tercapai, besar kemungkinan motivasi akan menurun.

Terdapat tiga kategori motif yang membangkitkan motivasi iaitu motif homeostatik, motif non-homeostatik dan motif sosial. Ada motivasi positif dan ada motivasi negatif.

Saya suka mengikuti program motivasi, samada atas inisiatif sendiri, dihantar oleh majikan atau pun mengikuti program yang dianjurkan oleh organisasi yang saya menjadi ahli.   Dalam program  tersebut, kita selalunya diminta menentukan matlamat yang ingin dicapai dan menyediakan perancangan untuk mencapainya. Matlamat tersebut selalunya mempunyai kaitan dengan motif yang dinyatakan di atas.

Kita akan mempunyai motivasi bila ada orang yang mengajak, memujuk atau memaksa kita melakukannya. Seminggu selepas program motivasi, biasanya semangat atau motivasi dah mula menurun. Tidak ada lagi dorongan untuk mencapai motif kerana tiada yang mengajak, menyuruh atau memaksa. Benarlah kajian pakar, manusia akan lupa seratus peratus tentang apa yang diberitahu kepadanya dalam tempoh seminggu. Inilah agaknya kenapa sesetengah pakar motivasi,ada mengatakan seseorang tidak mungkin dapat memotivasikan orang lain. 


Berbeza dengan orang yang mempunyai inspirasi, dia akan terus komited untuk berusaha walaupun matlamat yang ingin dicapai tidak tercapai. Inspirasi bermaksud keadaan fikiran yang boleh menyebabkan terlahir ilham atau rangsangan, dan juga perasaan yang membuat seseorang komited dengan apa yang diusahakan. 

Usaha tidak hanya sebagai jalan untuk mecapai matlamat tetapi tujuan hidup itu sendiri - hidup yang penuh inspirasi dan bermakna. Di mana kita boleh mendapat sumber inspirasi? Sumber inspirasi ini berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. 

Ramai orang yang mendapat sumber inspirasi dari alam semulajadi seperti melihat ikan berenang, mendengar deruan ombak, kicauan burung, atau desir angin. Ada orang mendapat inspirasi dengan mendengar muzik seperti muzik klasik atau sentimental. Ada juga yang mendapat inspirasi dengan membaca kisah manusia agung (seperti Nabi Muhammad saw). Inspirasi juga boleh diperolehi dengan menyelami jiwa sendiri atau membaca jurnal peribadi.

Carilah sumber inspirasi anda. Motivasi tidak cukup bertenaga untuk membuat kita meneruskan usaha ketika keadaan sekeliling berteriak “berhenti!”. Motivasi hanya memberitahu kita mengapa kita ingin melakukan apa yang kita lakukan kerana ia didasarkan pada matlamat semata-mata.

Ingatan Untuk Diri Sendiri..



No comments:

Post a Comment