Inspirasi Suri : Hobi Menjana Pendapatan: Salam Perkenalan

Friday, 19 September 2014

Salam Perkenalan

Teks : Basharina Ahmat

Assalamualaikum......
Untuk entri yang pertama ini saya ingin memperkenalkan diri terlebih dahulu. Nama saya Basharina Binti Ahmat. Panggilan mesra Bashar. Dilahirkan pada 09 Disember 1983 dan berasal dari Kedah. Saya merupakan anak kedua daripada 5 orang adik-beradik. 

Selepas tamat Tingkatan 5, saya telah melanjutkan pelajaran di salah sebuah IPTA di Kedah dalam bidang Sijil Teknologi Maklumat selama 2 tahun. Saya pernah bekerja di beberapa syarikat swasta di Pulau Mutiara. Seterusnya saya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Teknologi Maklumat secara sambilan selama 2 tahun (2007 hingga 2009) di Pulau Mutiara. Dalam masa yang sama saya juga mendapat tawaran bekerja di sektor awam dan ditempatkan di negeri kelahiran sendiri. Alhamdulillah saya telah menamatkan pengajian tersebut dengan jayanya pada tahun 2009. 

Merantau dan bekerja di negeri lain memberi pengalaman yang sangat berharga kepada saya. Pengalaman ini mengajar saya untuk lebih berdikari dan yakin kepada diri sendiri. Jauh perjalanan banyak pengalaman diperolehi. Pengalaman-pengalaman lalu mendewasakan saya. Sejak di bangku sekolah lagi,saya memang suka membaca buku dan mencuba sesuatu yang baru. Buku yang sering saya baca adalah seperti buku berkisar sejarah, buku-buku agama, majalah-majalah kesihatan, kecantikan, jahitan, masakan dan banyak lagi. Dulu agak susah untuk mencari buku-buku sebegitu. Sekarang ini lebih mudah untuk mencari bahan bacaan. Cari sahaja menggunakan google, pasti banyak maklumat yang menarik untuk dibaca.
 
Yang penting kita selaraskan dunia dengan akhirat. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan jika dipanjangkan usia ingin lagi menambah ilmu. Setiap masalah dan dugaan selama ini amat berharga bagi saya. Pengalaman membuatkan saya tersenyum bila terkenangkannya.

Jika saya boleh fikirkan anda juga boleh. Jika mereka boleh Berjaya, saya juga pasti akan berjaya. Saya tetap akan cuba dan terus mencuba untuk mencapai apa yang diimpikan. Kerana saya yakin dan pasti selagi hidup di kandung badan , setiap manusia tetap akan menghadapi pelbagai dugaan kehidupan. Cuma jalan hidup masing-masing sahaja yang berbeza antara satu sama lain.

Seingat saya tahun 1998 saya mula belajar menjahit  anjuran KEMAS dengan bayaran yuran kurang RM1 selama 2 jam, hanya suka-suka , ala ikut orang..Kursus jahitan yang pertama adalah baju kurung , baju kedah dan kain pakai@selisih serta  jubah. Semasa saya di tingkatan 4, saya telah mula mengambil upah baju budak-budak kecil yang berusia dalam linkungan 3 tahun.  Tidak pernah terlintas di hati untuk  menjalankan perniagaan seperti hari ini.  Apa yang pasti kursus-kursus jahitan yang dihadiri adalah untuk kegunaan sendiri sahaja. 

Alhamdulillah, sekarang ini saya sudah menjadi pakar jahitan dan sulaman.  Jika anda bertanya  apa pun yang berkaitan jahitan dan sulaman Insyaallah saya boleh memberi jawapan yang terbaik. Rasa gembira yang teramat kerana dapat membantu menyelesaikan masalah orang lain.  Insyaallah saya akan kongsikan pada anda yang berminat.  Sehingga hari ini saya masih lagi mengikuti kursus jahitan.  Itulah pelaburan saya. Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan ILMU.

Apa yang penting adalah niat kita untuk membantu orang lain yang memerlukan. Tangan yang memberi adalah lebih baik dari yang menerima.

SERONOK SANGAT  DAPAT MENAMBAH NILAI HIDUP ORANG LAIN....

Cukup setakat ini dahulu coretan saya pada kali ini. Bertemu di entri seterusnya.
 

No comments:

Post a Comment