Inspirasi Suri : Hobi Menjana Pendapatan: 2014

Friday, 5 December 2014

PANDUAN PENJAGAAN TUDUNG CHIFFON AWNING

Teks : Basharina  Ahmat

Terdapat 7 panduan penjagaan Tudung Chiffon Awning

1. Rendam tudung seketika di dalam air bercampur pelembut ataupun bahan pencuci selama 5 minit,
    kemudian bilas dengan air bersih dan jemur di kawasan yang redup (ELAKKAN menjemur di
    tempat cahaya matahari terik).

2. Pastikan tudung tidak diramas ketika mencuci, cukup dengan hanya mencelup, usap menggunakan
     tangan di bahagian yang kotor dan mengangkatnya beberapa kali sehingga bersih daripada bahan
     pencuci.

3. JANGAN sesekali memasukkan tudung ke dalam mesin basuh kerana ia akan merosakkan
    AWNING.

 4. Setiap kali membasuh tudung, asingkan daripada kain yang lain. Amalkan membasuh tudung
     bersama tudung lain saja.

5. Cara melipat tudung juga perlu betul. Pastikan jangan melipat bahagian awning tudung, sebaiknya
    simpan menggunakan tupperware atau sangkut mengunakan hanger supaya auning tidak mudah
    patah.

6. Jika ada kedutan dibahagian penyepit pastikan menggosoknya menggunakan suhu yang rendah dan
    hanya di bahagian kedutan sahaja. Elakkan mengosok dibahagian awning tudung kerana akan
    menjadi tidak sempurna apabila dipakai.

7. Jika bahagian awning terlipat, basahkan sedikit dengan percikan air ataupun pelembut, kemudian
    gosok bahagian berkenaan. Ia akan terbentuk semula.

 


Monday, 20 October 2014

ROTARY CUTTER


Teks : Basharina Ahmat

Inilah Rotary Cutter yang digunakan untuk memotong kain yang lebih kecil untuk membuat patchwork dan hiasan pada sesuatu projek jahitan.

Saiznya 45mm. Biasanya saya akan guna yang ini untuk general cutting. Gambar kat bawah ni cara nak guna dengan pembaris dan mat tu, kedudukan mesti 45 darjah, supaya mata pisau tu tak cepat tumpul. Pembaris memang sudah ada ukuran dalam cm atau inci, mat pula digunakan untuk alas, pembaris ini juga sudah disediakan ukuran 45 darjah dan 60 darjah. Bagi memudahkan untuk memotong secara tepat ukuran, garisan pembaris mesti sama lurus dengan kain tersebut, jika terdapat lebihan, potong kain untuk dapat garisan yang lurus... Tekan dan tolak rotary cutter ke depan, bukan dari arah depan ke belakang tau, nanti garisan tidak lurus.
Pastikan rotary cutter ini digunakan bersama mat dan pembaris.

Jadi untuk memiliki rotary cutter ini terpulanglah kepada keperluan kita. Kalau tak ada pun boleh buat juga tapi remeh sedikit, tapi kalau ada tu lagi senang le kerja potong-potong, jika dibandingkan dengan menggunakan gunting.

Salam ceria selalu.

Wednesday, 15 October 2014

Jangan Pandang Belakang

 Teks : Basharina Ahmat

Setiap orang mempunyai kegagalan atau kesilapan masa lampau yang tidak sama antara satu sama lain. Untuk berjaya, kita perlu belajar dari kesilapan lalu dan menghargai pengalaman sukar yang telah dilalui tanpa perlu memikirkannya. Kita perlu maju ke hadapan dan melakukan yang lebih baik, membuat keputusan yang bijak dan jadikan pengalaman lalu sebagai ikhtibar.  Berazam dalam diri kita agar tidak mengulangi kesilapan itu lagi.



Peringatan untuk diri sendiri.

Tuesday, 14 October 2014

Motivasi vs Inspirasi


Teks : Basharina  Ahmat

Pada pendapat saya motivasi dan inspirasi adalah dua perkataan yang berbeza. Walaupun perbezaannya kecil, inspirasi mempunyai lebih kekuatan dalam merangsang seseorang melakukan sesuatu dengan penuh komitmen berbanding motivasi.

Perkataan motivasi terbentuk dari perkataan motif. Bermakna seseorang memerlukan motif untuk mendapat motivasi. Apakah motif seorang blogger menulis blog? Kerana wang, nama, berkongsi pendapat, mencetus perubahan, atau kesemuanya? Jika motif yang ingin dicapai tidak tercapai, besar kemungkinan motivasi akan menurun.

Terdapat tiga kategori motif yang membangkitkan motivasi iaitu motif homeostatik, motif non-homeostatik dan motif sosial. Ada motivasi positif dan ada motivasi negatif.

Saya suka mengikuti program motivasi, samada atas inisiatif sendiri, dihantar oleh majikan atau pun mengikuti program yang dianjurkan oleh organisasi yang saya menjadi ahli.   Dalam program  tersebut, kita selalunya diminta menentukan matlamat yang ingin dicapai dan menyediakan perancangan untuk mencapainya. Matlamat tersebut selalunya mempunyai kaitan dengan motif yang dinyatakan di atas.

Kita akan mempunyai motivasi bila ada orang yang mengajak, memujuk atau memaksa kita melakukannya. Seminggu selepas program motivasi, biasanya semangat atau motivasi dah mula menurun. Tidak ada lagi dorongan untuk mencapai motif kerana tiada yang mengajak, menyuruh atau memaksa. Benarlah kajian pakar, manusia akan lupa seratus peratus tentang apa yang diberitahu kepadanya dalam tempoh seminggu. Inilah agaknya kenapa sesetengah pakar motivasi,ada mengatakan seseorang tidak mungkin dapat memotivasikan orang lain. 


Berbeza dengan orang yang mempunyai inspirasi, dia akan terus komited untuk berusaha walaupun matlamat yang ingin dicapai tidak tercapai. Inspirasi bermaksud keadaan fikiran yang boleh menyebabkan terlahir ilham atau rangsangan, dan juga perasaan yang membuat seseorang komited dengan apa yang diusahakan. 

Usaha tidak hanya sebagai jalan untuk mecapai matlamat tetapi tujuan hidup itu sendiri - hidup yang penuh inspirasi dan bermakna. Di mana kita boleh mendapat sumber inspirasi? Sumber inspirasi ini berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. 

Ramai orang yang mendapat sumber inspirasi dari alam semulajadi seperti melihat ikan berenang, mendengar deruan ombak, kicauan burung, atau desir angin. Ada orang mendapat inspirasi dengan mendengar muzik seperti muzik klasik atau sentimental. Ada juga yang mendapat inspirasi dengan membaca kisah manusia agung (seperti Nabi Muhammad saw). Inspirasi juga boleh diperolehi dengan menyelami jiwa sendiri atau membaca jurnal peribadi.

Carilah sumber inspirasi anda. Motivasi tidak cukup bertenaga untuk membuat kita meneruskan usaha ketika keadaan sekeliling berteriak “berhenti!”. Motivasi hanya memberitahu kita mengapa kita ingin melakukan apa yang kita lakukan kerana ia didasarkan pada matlamat semata-mata.

Ingatan Untuk Diri Sendiri..



Friday, 10 October 2014

Catatan Pengalaman

Sebenarnya bidang jahitan amat luas, kita boleh menjadi usahawan jahitan dalam pelbagai bidang seperti  sulaman, jahitan baju perempuan , jahitan baju lelaki, jahitan langsir dan lain-lain jahitan lagi.

Ketika remaja lagi saya sudah mempunyai minat untuk menjadi usahawan dalam bidang jahitan. Saya mengikuti kelas jahitan anjuran KEMAS pada setiap hujung minggu.  Itupun kalau saya tiada “tuisyen”.  Maklumlah waktu itu masih lagi di bangku sekolah. Minat ini terkubur seketika apabila saya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Alhamdulillah dapat kerja makan gaji untuk meneruskan kehidupan seharian.

Saya mula bekerja makan gaji... pagi-pagi keluar kerja balik petang tapi  cukup bulan gaji habis bayar hutang, sehinggalah pada usia 25 tahun saya mengikuti kelas jahitan yang lebih tinggi dimana saya mempelajari teknik quilting, patchwork, sulaman pada pelbagai jenis pakaian wanita dan lain-lain lagi.  Dari situ saya mula berjinak-jinak dengan mesin sulam untuk belajar menjahit sulaman dan mengambil tempahan.

Setiap hari minggu saya akan terus masuk kelas jahitan tanpa mengira penat. Kelas saya bermula dari pukul 9 – 7 malam (Jumaat dan Sabtu) sepanjang tahun. Bayangkan betapa penatnya saya waktu itu, untuk menjadi seperti hari ini, dalam masa yang sama menjadi pelajar dan bekerja. Tetapi itulah pengorbananku......

Setelah beberapa tahun menimba ilmu dalam bidang jahitan dari satu pusat jahitan ke satu pusat jahitan saya panjat semata-mata untuk menambah ilmu dan pengalaman. Setelah ilmu penuh di dada saya pun mula berjinak2 dengan mengambil tempahan jahitan dan sulaman secara sambilan. Kini saya telah 15 tahun berpengalaman dalam bidang jahitan dan sulaman.

Memandangkan harga tempahan semakin hari semakin mahal , ia menambahkan lagi semangat untuk terus belajar hingga ke hari ini.  Sekarang ini saya masih lagi mengikuti kelas jahitan sulaman setiap 2 minggu sekali (ikut kesesuaian jadual dan tempahan pelanggan).

Sekarang saya lebih fokus kepada jahitan sulaman.



Thursday, 25 September 2014

Tuala Bersulam Nama

Alhamdulillah

Syukur ..dalam masa seminggu ini banyak juga aktiviti yang dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sejak kebelakangan ini agak sibuk online dengan ABDR untuk menambah ilmu sedia ada.
Ada sedikit perubahan pada jadual harian Disamping itu, dapat menyiapkan beberapa tempahan tuala bersulam nama untuk diraikan di Majlis Istimewa. Inilah hasilnya :  


Sulaman nama sempena Majlis Hari Lahir
 
Sulaman nama sempena Majlis Hari Lahir
 
Sulaman nama sempena Majlis Perkahwinan
 
Sulaman nama sempena Majlis Kesyukuran


Sempena Majlis Jamuan Akhir Tahun


Untuk sebarang tempahan hubungi saya:
Facebook: basha ahmat
Emel di basharina.ahmat@gmail.com



Tuesday, 23 September 2014

Tempahan lagi

Teks : Basharina Ahmat

Alhamdulillah.

Syukur dapat menyiapkan tempahan nametag pelajar sekolah yang ditempah oleh pelanggan.  Hari ini selepas Solat Maghrib terus buka mesin sulam dan buat nametag yang di tempah.  Inilah hasilnya :

Terima Kasih Pn Mafiza dari Alor Setar
                                                           
Terima Kasih Pn Adibah dari Perlis
 
Terima Kasih Pn Basyariah dari Kuala Lumpur



Selepas solat terus tulis entri ni dan publish.
Selamat malam. Berjumpa lagi di entri yang akan datang yer.

Untuk sebarang tempahan hubungi saya:
No. H/p : 011-28436643
Facebook: basyar ahmat
Emel di basharina.ahmat@gmail.com




Jom Masak Pula

Teks : Basharina Ahmat

Alhamdulillah

Petang yang ceria. Syukur kerana dapat menyiapkan puding roti untuk anak kawan sempena Sambutan Hari lahirnya yang ke 11. Selamat Hari Lahir adik Dhia Nabila, Semoga panjang umur dan mendapat rezeki yang bertambah-tambah, kaya dan berjaya dunia dan akhirat. Terima kasih pada mu Ya Allah kerana memberi ruang untuk menyediakan sedikit hidangan yang ringkas.

Jom saya kongsikan resipi Puding Roti & Sos Vanilla Kastard yang amat mudah dan cepat.

 Puding Roti & Sos Vanilla Kastard

Bahan utama:
10keping roti Gardenia (atau apa2 jenis roti)
Butter (untuk sapu pada permukaan roti & permukaan loyang pembakar)

Caranya:
Sapukan butter pada permukaan loyang. Kemudian sapu butter pada permukaan roti. Potong roti kepada saiz kecil (bentuk- ikut suka). Susun potongan roti kedalam loyang. Ketepikan.

Bahan rendam roti:
4 biji telur (saiz sederhana)
5 sudu besar gula pasir
800 ml susu segar
2 sudu kecil esen vanila
3 sudu besar tepung jagung
Secawan kismis / kurma 
Sedikit ceri merah

Caranya:
1. Kacau telur dalam bekas yang sesuai. Masukkan gula. Kacau hingga gula larut. Kemudian  
    masukkan susu segar, esen vanila tepung jagung & kismis. Kacau hingga sekata.
2. Tuangkan dalam loyang roti. Biar roti terendam selama 30 minit. 
3. Kemudian bakar dalam oven dengan suhu 180° selama 30 minit.
    (Suhu & masa mesti bergantung kepada keadaan oven anda). Untuk tahu puding roti betul-betul
    masak, tunggu warna permukaan atas roti naik tinggi & jadi perang keemasan. Cucuk dengan 
    lidi, pastikan bahagian dalam puding masak sempurna.

Inilah puding roti yang belum di bakar
Bahan sos vanila kastard:
1 tin susu cair
1 sudu besar esen vanila
2 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar gula pasir
Secubit garam

Caranya:
Satukan semua bahan dalam periuk. Kacau hingga gula & tepung kastard larut. Kemudian, masak atas api sederhana. Kacau sentiasa guna senduk kayu sehingga sos menjadi sedikit likat. Siap!

*sedap dimakan sejuk atau suam. Ikut selera masing-masing!
  
Puding Roti yang telah masak dan sedia dihidangkan
Selamat mencuba dan menjamu selera.

Sunday, 21 September 2014

Gubahan 2 Hati

Teks : Basharina Ahmat

Alhamdulillah

Syukur alhamdulillah kerana dapat menyiapkan beberapa tempahan gubahan sempena Majlis Perkahwinan Siti Nadterah dan Ruzi pada minggu depan. Selamat Pengantin Baru... Semoga Kasih berpanjangan ke Syurga.  Antara tempahan yang di tempah adalah 

Tuala sulaman nama pengantin Siti Nadterah & Ruzi di gubah menjadi Bakul Berbuah 5

Sumi di gubah Menjadi Sejambak Mawar

Hasil Gubahan Gula pasir menjadi Carrot Madu


Untuk sebarang tempahan hubungi saya:
Facebook: basyar ahmat
Emel di basharina.ahmat@gmail.com

Berjumpa lagi di entri yang akan datang  ye..

Friday, 19 September 2014

Salam Perkenalan

Teks : Basharina Ahmat

Assalamualaikum......
Untuk entri yang pertama ini saya ingin memperkenalkan diri terlebih dahulu. Nama saya Basharina Binti Ahmat. Panggilan mesra Bashar. Dilahirkan pada 09 Disember 1983 dan berasal dari Kedah. Saya merupakan anak kedua daripada 5 orang adik-beradik. 

Selepas tamat Tingkatan 5, saya telah melanjutkan pelajaran di salah sebuah IPTA di Kedah dalam bidang Sijil Teknologi Maklumat selama 2 tahun. Saya pernah bekerja di beberapa syarikat swasta di Pulau Mutiara. Seterusnya saya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Teknologi Maklumat secara sambilan selama 2 tahun (2007 hingga 2009) di Pulau Mutiara. Dalam masa yang sama saya juga mendapat tawaran bekerja di sektor awam dan ditempatkan di negeri kelahiran sendiri. Alhamdulillah saya telah menamatkan pengajian tersebut dengan jayanya pada tahun 2009. 

Merantau dan bekerja di negeri lain memberi pengalaman yang sangat berharga kepada saya. Pengalaman ini mengajar saya untuk lebih berdikari dan yakin kepada diri sendiri. Jauh perjalanan banyak pengalaman diperolehi. Pengalaman-pengalaman lalu mendewasakan saya. Sejak di bangku sekolah lagi,saya memang suka membaca buku dan mencuba sesuatu yang baru. Buku yang sering saya baca adalah seperti buku berkisar sejarah, buku-buku agama, majalah-majalah kesihatan, kecantikan, jahitan, masakan dan banyak lagi. Dulu agak susah untuk mencari buku-buku sebegitu. Sekarang ini lebih mudah untuk mencari bahan bacaan. Cari sahaja menggunakan google, pasti banyak maklumat yang menarik untuk dibaca.
 
Yang penting kita selaraskan dunia dengan akhirat. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan jika dipanjangkan usia ingin lagi menambah ilmu. Setiap masalah dan dugaan selama ini amat berharga bagi saya. Pengalaman membuatkan saya tersenyum bila terkenangkannya.

Jika saya boleh fikirkan anda juga boleh. Jika mereka boleh Berjaya, saya juga pasti akan berjaya. Saya tetap akan cuba dan terus mencuba untuk mencapai apa yang diimpikan. Kerana saya yakin dan pasti selagi hidup di kandung badan , setiap manusia tetap akan menghadapi pelbagai dugaan kehidupan. Cuma jalan hidup masing-masing sahaja yang berbeza antara satu sama lain.

Seingat saya tahun 1998 saya mula belajar menjahit  anjuran KEMAS dengan bayaran yuran kurang RM1 selama 2 jam, hanya suka-suka , ala ikut orang..Kursus jahitan yang pertama adalah baju kurung , baju kedah dan kain pakai@selisih serta  jubah. Semasa saya di tingkatan 4, saya telah mula mengambil upah baju budak-budak kecil yang berusia dalam linkungan 3 tahun.  Tidak pernah terlintas di hati untuk  menjalankan perniagaan seperti hari ini.  Apa yang pasti kursus-kursus jahitan yang dihadiri adalah untuk kegunaan sendiri sahaja. 

Alhamdulillah, sekarang ini saya sudah menjadi pakar jahitan dan sulaman.  Jika anda bertanya  apa pun yang berkaitan jahitan dan sulaman Insyaallah saya boleh memberi jawapan yang terbaik. Rasa gembira yang teramat kerana dapat membantu menyelesaikan masalah orang lain.  Insyaallah saya akan kongsikan pada anda yang berminat.  Sehingga hari ini saya masih lagi mengikuti kursus jahitan.  Itulah pelaburan saya. Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan ILMU.

Apa yang penting adalah niat kita untuk membantu orang lain yang memerlukan. Tangan yang memberi adalah lebih baik dari yang menerima.

SERONOK SANGAT  DAPAT MENAMBAH NILAI HIDUP ORANG LAIN....

Cukup setakat ini dahulu coretan saya pada kali ini. Bertemu di entri seterusnya.